Pilihan Bahasa   

MY
                              

Rumah Penghulu Abdul Ghani, Merlimau, Melaka

Sebelum Kerja Konservasi Semasa Kerja Konservasi Selepas Kerja Konservasi

Rumah Penghulu Abdul Ghani bin Abdul Majid di Merlimau, Daerah Jasin, Melaka ini adalah antara Rumah Melaka tertua yang masih berdiri megah dan merupakan antara rumah Tradisional Melayu yang tercantik di negara ini. Ia mempunyai seni bina yang sangat unik dengan gabungan gaya seni bina Melayu, Cina dan Eropah. Skala rumah ini adalah jauh lebih besar dari ukuran lazim Rumah Melaka. Rumah ini pernah didiami oleh seorang ketua masyarakat yang menjawat jawatan Demang atau Ketua Penghulu iaitu Penghulu Abdul Ghani bin Abdul Majid dan anaknya Penghulu Natar bin Abdul Ghani. Segala peralatan perabot gaya Eropah seperti meja, almari, kerusi dan katil yang diguna pakai di dalam rumah ini berbeza dengan cara tradisional Melayu seperti kebiasaannya yang hanya duduk bersila.

Rumah ini mempunyai dua buah komponen rumah yang bersambung menjadi satu. Rumah Melaka iaitu Rumah Bumbung Panjang Tiang Enam Belas terletak pada bahagian belakang merupakan kediaman rasmi keluarga Penghulu. Manakala Rumah Limas Johor yang bersambungan menjadi anjung terbuka kepada Rumah Melaka berkenaan. Di sinilah Penghulu Ghani mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung di mana bangku panjang gaya Victoria dibina pada sepanjang sisi anjung untuk duduk bermesyuarat. Rumah ini diilhamkan oleh Penghulu Abdul Ghani sendiri dan dibina oleh beberapa Tukang Cina. Oleh itu tidak hairanlah terdapat motif-motif Cina menghiasi dinding, pintu, tingkap dan pagar rumah ini. Pengunjung akan disambut dengan tangga batu Melaka yang sangat elegan berturapkan jubin berhias pelbagai warna yang diimport. Ia diapit oleh dua buah kolah air serta tiang berhias sebiji buah nenas sebagai lambang kemakmuran di kiri dan kanan tangga. Terdapat sepasang pintu unik dengan hiasan dua ekor naga berlaga terletak di antara ruang verandah dengan anjung. Selain itu juga, motif flora dan burung pada kepala pintu, tingkap serta pelamin yang jarang terdapat pada rumah-rumah Melayu asli menyerlahkan lagi seni pertukangan gaya Peranakan Cina yang dibina kekal di Rumah Ibu.

Rumah Belakang dan Rumah Dapur dipisahkan dari Rumah Ibu dengan sebuah halaman dalam (courtyard). Ia mempunyai dua buah pintu masuk di sebelah sisi dan belakang dengan rekabentuk Cina berbumbung genting Belanda. Di ‘courtyard’ ini juga terdapat sebuah kolah besar untuk membasuh kain serta sebuah bilik mandi tanpa bumbung yang juga mempunyai kolah besar. Bumbung Rumah Anjung, Rumah Ibu dan Rumah Belakang dibina dari zink iaitu bahan bumbung yang eksklusif pada masa itu. Manakala bumbung Rumah Dapur adalah dari genting India. Keseluruhan bangunan ini dicat dengan motif mempunyai pelbagai warna. Ini merupakan pengaruh senibina Cina kerana rumah-rumah tradisi Melayu lazimnya mengekalkan warna kayu tanpa dicat.

Bagi menyelamatkan khazanah Negara yang tidak ternilai ini, Jabatan Warisan Negara telah melaksanakan kerja-kerja baikpulih pada keseluruhan bangunan termasuk membaikpulih dan memperkukuhkan struktur tembok dinding dan tiang konkrit yang rosak, mengikis dan mengecat semula, menanggal dan memasang jubin seramik, meroboh dinding tambahan, membaikpulih struktur kerangka dan kemasan bumbung serta lain-lain kerja berkaitan seperti membaikpulih pelamin, kabinet dinding, tempat memasak, kabinet dapur, kolah bilik air serta tiang dan pelbagai motif ukiran. Semoga usaha murni ini dapat meneruskan warisan peninggalan nenek moyang untuk generasi akan datang.

 

Keunikan Senibina & Elemen Bangunan

Tiang Seri dan Pelamin gaya Peranakan Cina yang terletak di bahagian Rumah Ibu. Tiang di verandah dihiasi jubin pelbagai corak. Ukiran hiasan dua ekor naga serta motif flora dan burung pada pintu pagar Peranakan di verandah.
     
‘Jeriji pagar musang’ di bahagian anjung. Motif ukiran hiasan pelbagai warna serta tingkap ram kayu boleh laras terdapat di serambi.

 

Antara Kerja-kerja Baikpulih Yang Dilaksanakan

(a) Kerja-kerja mengikis cat dan memasang semula kepingan tingkap. (c) Kerja-kerja menyimen lantai dan membaikpulih kolah air yang retak. (e) Kerja-kerja menanggal dan menurunkan genting bumbung untuk pembersihan.
     
(b) Selepas baikpulih (d) Selepas baikpulih (f) Selepas baikpulih
     
(a) & (b): Bahagian Serambi. (c) & (d): Bahagian ‘Courtyard’. (e) & (f): Bumbung Rumah Dapur.

JABATAN WARISAN NEGARA
Aras Mezanine, 15-20,
Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB),
No. 201-A, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Follow us on Social Media

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service